top of page

Penderaan emosi di sekolah mengancam perkembangan mental kanak-kanak

  • Writer: E News
    E News
  • 2 days ago
  • 3 min read

Oleh Nurfilzah Emily Mohamad Khairuddin



Gambar hiasan sumber mStar
Gambar hiasan sumber mStar


Sekolah ialah institusi asas yang memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah dan kesejahteraan psikososial kanak-kanak. Lebih daripada sekadar tempat menuntut ilmu, sekolah harus menjadi ruang selamat bagi murid untuk berkembang dari segi akademik, emosi dan sosial. Namun, apabila layanan yang diterima bersifat menekan dan menjatuhkan maruah, terutama daripada individu yang sepatutnya membimbing mereka, maka mesej pendidikan yang ingin dibawa menjadi tercalar.


Kebelakangan ini, isu penderaan emosi terhadap murid menjadi perhatian apabila terdapat laporan bahawa sesetengah murid yang meluahkan perasaan tidak selesa kepada ibu bapa berdepan dengan tindak balas negatif di sekolah. Ada murid yang ditegur secara terbuka, dilabel dengan kata-kata yang menyinggung atau dipersoal integriti mereka di hadapan rakan sekelas hanya kerana menyampaikan rasa tidak puas hati terhadap layanan yang diterima. Situasi ini, walaupun dilihat kecil oleh sesetengah pihak sebenarnya memberi kesan mendalam terhadap perkembangan psikologi kanak-kanak.


Pakar dalam bidang psikologi perkembangan menjelaskan bahawa interaksi negatif secara berulang daripada figura berautoriti seperti guru boleh menjejaskan imej kendiri dan emosi murid. Mereka mungkin mula mempercayai bahawa menyuarakan pendapat adalah sesuatu yang salah lalu menjadi murid yang pasif, takut bersuara dan kurang keyakinan diri. Dalam jangka panjang, ini boleh menyebabkan gangguan kesihatan mental seperti keresahan melampau, kemurungan atau kecenderungan mengasingkan diri daripada persekitaran sosial.


Penderaan emosi bukan sekadar maki hamun atau jeritan. Ianya merangkumi perbuatan yang memperlekehkan, mempermalukan, menyindir atau menjatuhkan maruah seseorang secara konsisten sama ada secara langsung atau tersirat. Dalam konteks sekolah, perkara ini boleh berlaku melalui cara penyampaian teguran yang tidak sensitif atau hukuman sosial di hadapan rakan sebaya. Tindakan ini, walaupun bertujuan mendisiplinkan harus diteliti semula sekiranya tidak lagi selaras dengan prinsip pendidikan yang berasaskan kasih sayang dan empati.


Perlu difahami bahawa apabila murid berkongsi pengalaman mereka kepada ibu bapa itu adalah bentuk komunikasi yang sihat. Ibu bapa ialah individu pertama yang dipercayai oleh kanak-kanak. Maka, adalah penting untuk ruang komunikasi antara guru dan ibu bapa dibina atas dasar saling hormat dan keterbukaan bukan berdasarkan andaian atau reaksi emosional. Jika murid merasa takut untuk bercakap benar, sistem pendidikan akan kehilangan fungsi utamanya sebagai pembentuk insan yang berintegriti dan berani menyuarakan kebenaran.


Sebagai profesion yang memegang tanggungjawab besar dalam pembinaan masyarakat, guru bukan sahaja perlu menguasai ilmu pengajaran dan pembelajaran tetapi juga kemahiran pengurusan emosi, komunikasi berkesan dan kepekaan terhadap latar belakang psikososial murid. Ini amat penting lebih-lebih lagi dalam era pendidikan moden yang semakin menekankan kesejahteraan mental sebagai sebahagian daripada kecemerlangan holistik.


Langkah-langkah pencegahan perlu diambil secara sistematik. Ini termasuklah pemantapan latihan profesional guru dalam aspek pengurusan emosi dan trauma murid, pengukuhan sistem aduan yang mesra murid serta penyediaan persekitaran sekolah yang menyokong komunikasi terbuka antara guru, ibu bapa dan murid. Unit Kaunseling sekolah pula perlu digerakkan secara aktif bukan sekadar untuk murid bermasalah tetapi sebagai pusat intervensi awal bagi mengesan dan menangani tekanan emosi yang mungkin tidak diluahkan secara langsung.


Pihak pengurusan sekolah juga perlu memainkan peranan aktif dalam memantau budaya kerja warga pendidik. Keberkesanan sesebuah institusi pendidikan tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik semata-mata tetapi juga melalui kesejahteraan emosi dan hubungan harmoni antara guru dan murid. Guru yang memiliki kemahiran pengurusan emosi yang baik dan pendekatan yang positif mampu membina suasana pembelajaran yang menyokong perkembangan holistik murid.


Isu penderaan emosi di sekolah bukanlah untuk menunding jari atau menimbulkan konflik antara pihak-pihak yang terlibat. Sebaliknya adalah satu panggilan agar semua yang berkecimpung dalam dunia pendidikan sama-sama merenung dan mengambil tindakan proaktif demi kepentingan murid sebagai generasi masa depan negara. Budaya pengajaran dan pembelajaran yang mengutamakan kasih sayang, hormat-menghormati serta komunikasi berkesan harus menjadi asas kepada sistem pendidikan kita.


Kanak-kanak yang mengalami tekanan emosi atau trauma akibat layanan yang tidak wajar di sekolah mungkin membawa kesan jangka panjang yang serius. Trauma emosi yang tidak ditangani dengan betul boleh mengakibatkan masalah kesihatan mental seperti kemurungan, kegelisahan kronik, rendah diri dan bahkan gangguan tingkah laku. Oleh itu, pencegahan dan intervensi awal amat penting untuk memastikan murid mendapat sokongan yang sewajarnya dan dapat mengekalkan perkembangan mental yang sihat.


Setiap murid berhak mendapatkan persekitaran pendidikan yang kondusif dan menyokong. Mereka harus dididik dalam suasana di mana pandangan mereka dihargai dan di mana mereka tidak takut untuk meluahkan perasaan atau masalah yang dihadapi. Dalam pada itu, guru sebagai pemimpin bilik darjah harus sentiasa mengutamakan pendekatan yang membina dan penuh empati bagi mengelakkan sebarang bentuk penderaan emosi yang boleh merencatkan potensi murid.


Dengan tekad dan komitmen bersama dari semua pihak berkepentingan iaitu guru, ibu bapa, pengurusan sekolah dan pihak berkuasa pendidikan kita mampu membina sebuah sistem pendidikan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga berdaya tahan dari segi mental dan emosi. Melindungi hak dan kesejahteraan murid bukan hanya tanggungjawab individu tetapi satu amanah yang dipikul bersama demi masa depan yang lebih cerah.


Nurfilzah Emily Mohamad Khairuddin
Nurfilzah Emily Mohamad Khairuddin

Penulis merupakan Kaunselor Berdaftar dan Pegawai Penerangan (MyStep) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN WPKL)

Commentaires


  • Youtube
  • Facebook
  • X
  • TikTok
  • Instagram

© 2025 Life News Agency

bottom of page