top of page

Berhati-hati memilih haiwan korban

  • Writer: E News
    E News
  • 1 day ago
  • 3 min read

Oleh Mohd Anuar Ramli



Gambar hiasan oleh Bailey Mahon - Unsplash
Gambar hiasan oleh Bailey Mahon - Unsplash

Menjelang sambutan hari raya Aidiladha bermakna semakin hampir dengan pesta sembelihan haiwan korban. Ia bermula pada 10 Zuhijjah hinggalah ke hari-hari tasyrik yang bertarikh 11, 12, dan 13 Zulhijjah. Disebabkan ada permintaan yang tinggi terhadap haiwan korban, jadi penawaran haiwan juga jadi meningkat. Apatah lagi dengan tawaran harga yang murah dan di bawah harga pasaran. Dalam memenuhi permintaan tersebut, biasanya terdapat para penjenayah yang cuba memasukkan haiwan yang diseludup atau dicuri, atau haiwan yang tidak melalui pemeriksaan kesihatan pihak veterinar atau pemalsuan dokumen ke dalam rantaian bekalan haiwan korban yang sah.


Pada 1 Mei 2025, dunia ternakan haiwan serantau dikejutkan dengan satu kes kematian manusia akibat jangkitan penyakit anthrax di Thailand. Penyakit anthrax disebabkan oleh bakteria Bacillus anthracis yang boleh menjangkiti haiwan dan manusia serta boleh membawa maut. Walaupun Malaysia telah disahkan bebas daripada penyakit tersebut sejak tahun 1976 oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH), tetapi kes yang berlaku di negara jiran turut menggusarkan. Ini disebabkan risiko turut ada jika tidak berhati-hati.


Istimewanya di Malaysia, pihak berkuasa veterinar hendaklah memeriksa setiap haiwan korban sebelum Sijil Kesihatan Veterinar dan Akuan Kebenaran Pindah dikeluarkan bagi memastikan ternakan yang akan disembelih sihat dan bebas daripada penyakit. Walaupun dari segi prosedur sudah kemas, tetapi potensi haiwan korban tanpa melalui proses pengkuarantinan atau pemeriksaan kesihatan boleh berlaku dan ia boleh memberikan kesan buruk terhadap kesihatan manusia.


Dalam hukum fiqah, pemilihan haiwan korban telah digariskan syarat yang khusus, iaitu haiwan yang cukup umur, bebas dari kecacatan, tidak berpenyakit dan sempurna sifatnya. Kriteria ini dapat ditelusuri dalam hadis Nabi SAW, maknanya:


Empat perkara yang tidak boleh ada pada haiwan korban: iaitu haiwan yang buta matanya, yang ketara sakitnya, yang ketara tempang kakinya dan yang terlalu kurus sehingga tidak ada sum-sum pada tulangnya (HR Abu Daud)


Jadi, dalam melaksanakan ibadah korban, umat Islam sewajarnya memilih haiwan yang terbaik, sihat, di samping melalui prosedur korban yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Pemilihan ini sangat penting kerana haiwan yang berpenyakit, atau dijangkiti penyakit merbahaya adalah termasuk dalam haiwan yang sakit nyata dan memudaratkan kepada pelbagai pihak yang menerima daging korban. Perbuatan yang boleh mengundang kemudaratan adalah bertentangan dengan hikmah korban itu sendiri dan berlawanan dengan prinsip asas syariah. Nabi SAW bersabda, maknanya: Tidak boleh memudaratkan diri dan tidak boleh memudaratkan pihak lain. (HR Ibn Majah)


Selain itu, ibadah korban bertujuan sebagai penyucian jiwa dan ekspresi rasa kesyukuran kepada Allah SWT. Selari dengan itu, dalam melaksanakan ibadah ini, umat Islam perlu akur dengan tuntutan Allah SWT yang menekankan amal yang ikhlas. Dalam surah al-Hajj, ayat 37, Allah SWT telah berfirman, maknanya: Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Justeru jika amalan korban yang dilakukan dengan membelakangkan aspek halal dan keselamatan daging korban, bagaimanakah rasa ikhlas dan takwa akan sampai kepada Allah SWT.


Senada dengan objektif ibadah korban ini juga, Nabi SAW telah menjelaskan bahawa ibadah korban adalah amalan yang dicintai oleh Allah SWT. Sabda Nabi SAW, maknanya: Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban). (HR al-Tirmizi)


Sehubungan dengan itu, dalam melakukan ibadah korban, pilihlah haiwan yang benar-benar halalan tayyiba, iaitu haiwan ternakan yang diperolehi dengan cara yang sah, melalui prosedur kesihatan oleh pihak veterinar, haiwan yang sihat dan berisi, tidak cacat dan cukup umur. Ini adalah kerana ibadah korban merupakan manifestasi pengorbanan seorang hamba yang didasari rasa ikhlas demi mencapai ketaqwaan kepada Allah SWT. Selain itu, ia juga proses pembersihan jiwa seorang hamba. Pastilah ia turut menitik beratkan aspek keselamatan orang ramai dan tidak membuka ruang risiko penyakit atau kematian kepada masyarakat agar ibadah korban diterima di sisi Allah SWT.


Oleh itu, dalam melaksanakan ibadah korban, umat Islam perlu lebih cakna dan patuh kepada panduan syariah serta arahan pihak berkuasa demi menjamin ibadah korban yang dilakukan sah serta selamat. Begitu juga, umat Islam perlu berhati-hati dalam menerima penawaran haiwan dengan harga yang murah, di bawah harga pasaran kerana dibimbangi haiwan tersebut diseludup, atau dicuri atau berpenyakit. Sekiranya penyembelihan dilakukan di luar rumah sembelihan yang sah, pastikan ada dokumen Akuan Pemindahan Ternakan, Sijil Kesihatan Veterinar dan Permit Penyembelihan Luar, dan ia telah lengkap sebelum penyembelihan dilakukan. Semoga ibadah korban diterima di sisi Allah SWT dan menjadi saksi di akhirat kelak.


Mohd Anuar Ramli
Mohd Anuar Ramli

Profesor Madya Dr Mohd Anuar Ramli adalah Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Kommentare


  • Youtube
  • Facebook
  • X
  • TikTok
  • Instagram

© 2025 Life News Agency

bottom of page