top of page

Jadikan teknologi pemudah cara, bukan beban, pembelajaran

  • Writer: E News
    E News
  • 21 hours ago
  • 3 min read

Oleh Nur Syazwani Ahmad


Jika dahulu, memiliki sebuah komputer riba dan sambungan Wi-Fi yang stabil sudah cukup untuk seorang pelajar mengikuti pembelajaran akademik. Namun, situasinya kini amat berbeza. Tugasan, kuliah, perbincangan kelas, dan peringatan kini berlaku merentasi pelbagai platform digital. Walaupun teknologi bertujuan untuk memudahkan pembelajaran, jumlah alat yang digunakan kini menyebabkan ramai pelajar berasa terbeban. Apa yang sepatutnya membantu, kini seolah-olah menjadi penghalang.



Gambar hiasan oleh Matthew Moloney - Unsplash
Gambar hiasan oleh Matthew Moloney - Unsplash


Inilah yang dikenali sebagai teknologi berlebihan, dan ia semakin menjadi kebiasaan, khususnya dalam kalangan pelajar universiti. Kebanyakan mereka kini beralih antara pelbagai peranti dalam sehari. Satu kajian semasa pandemik COVID-19 mendapati bahawa 88.2% pelajar bergantung kepada gabungan komputer riba, telefon pintar, dan komputer meja untuk menyokong pembelajaran mereka. Sekilas pandang, ini menunjukkan tahap penyesuaian diri yang tinggi. Tetapi jika diselami lebih dalam, terdapat tanda-tanda tekanan, kekeliruan, dan keletihan mental yang semakin ketara.


Teknologi dalam pendidikan bertujuan membuka ruang pembelajaran baharu — memberikan akses kepada bahan pada bila-bila masa, membolehkan kolaborasi dari mana-mana sahaja, dan menjadikan pengajaran lebih interaktif serta menarik. Ideanya ialah untuk menjadikan pembelajaran lebih fleksibel dan efisien. Namun dalam realiti, ia mula dirasai sebaliknya. Penggunaan terlalu banyak platform secara serentak melelahkan pelajar. Satu aplikasi untuk nota, satu lagi untuk kuiz, satu lagi untuk tugasan, ditambah pula dengan pelbagai kumpulan perbincangan. Belum lagi termasuk emel, pautan Zoom, Google Form, dan notifikasi yang tidak putus-putus. Apa yang sepatutnya menjadi sistem sokongan kini menjadi beban harian yang menyesakkan fikiran. Bagi ramai pelajar, pembelajaran bukan lagi soal memahami ilmu semata-mata, tetapi tentang mengejar rentak digital yang makin pantas.


Di luar waktu kuliah, pelajar masih kekal dalam talian. Media sosial memainkan peranan besar dalam kehidupan harian mereka, daripada mengikuti halaman kampus, menonton kandungan pendidikan, berkongsi tip belajar, hinggalah membuat pesanan makanan. Telefon mereka jarang benar-benar dimatikan. Kehadiran digital yang berterusan ini, yang menggabungkan kehidupan peribadi, sosial, dan akademik dalam satu skrin, menjadikan mereka sukar untuk benar-benar berehat. Malah, waktu rehat juga terasa seperti satu lagi tugasan.


Baru baru ini, penulis berbual dengan seorang pelajar selepas dan beliau kongsikan rutin harianya. Dia menggunakan pelbagai platform digital, untuk membaca bahan, untuk menghantar tugasan, untuk berbincang bersama rakan sekelas. Notifikasi demi notifikasi masuk dengan pelbagai arahan dan peringatan yang berbeza. “Saya belum mula pun kerja sebenar, tapi dah rasa letih,” katanya dengan spontan. Situasi ini bukanlah luar biasa. Apa yang dahulunya merupakan tugasan ringkas kini menjadi proses yang rumit dan merentasi pelbagai sistem. Walaupun pelajar tetap berusaha dan menyiapkan kerja mereka, proses itu sendiri sangat meletihkan. Mereka teruskan bukan kerana ia berkesan, tetapi kerana tiada pilihan.


Kita kadangkala tersilap menganggap kehadiran digital sebagai tanda produktiviti. Apabila sempadan antara pembelajaran dan pengurusan tuntutan digital menjadi kabur, matlamat sebenar pendidikan mulai hilang. Pelajar mungkin bermula dengan semangat dan minat yang tinggi, tetapi tekanan interaksi digital yang berterusan sedikit demi sedikit menghakis tenaga dan motivasi mereka. Akhirnya, hanya tinggal keletihan yang tidak mampu dipulihkan oleh mana-mana aplikasi atau kemas kini sistem.


Justeru, penyelesaiannya bukanlah dengan mengurangkan penggunaan teknologi, tetapi menggunakan teknologi dengan lebih baik. Kita perlu mencari keseimbangan dan memastikan teknologi menjadi pemudah cara dalam pembelajaran, bukannya beban yang menekan. Kesederhanaan, niat yang jelas, dan hubungan sesama manusia mesti kekal sebagai nadi kepada pendidikan. Hanya dengan itu kita dapat memastikan teknologi benar-benar menyokong pelajar, bukan membebankan mereka.


Nur Syazwani Ahmad
Nur Syazwani Ahmad

Dr Nur Syazwani merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya

Comments


  • Youtube
  • Facebook
  • X
  • TikTok
  • Instagram

© 2025 Life News Agency

bottom of page