top of page

Wilayah Persekutuan Diminta Terajui Pembaharuan Tata Kelola, Pasukan Pemacu Governans dan Integriti Akan Ditubuh Segera

  • Writer: E News
    E News
  • Apr 17
  • 2 min read

Kredit Foto : Halaman X Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa's
Kredit Foto : Halaman X Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa's

PUTRAJAYA, 17 April 2025 – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, menegaskan Wilayah Persekutuan perlu menjadi peneraju pembaharuan tata kelola dengan melaksanakan reformasi pentadbiran yang telus, cekap, dan akauntabel.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah di Menara Seri Wilayah pagi ini, yang turut dihadiri pengurusan tertinggi, ahli Lembaga Pengarah, Lembaga Penasihat Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), serta agensi-agensi berkaitan.


Seminar tersebut menampilkan ucaptama oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), diikuti forum yang membincangkan isu secara kritis. Zaliha menegaskan seminar ini bukan sekadar wacana, tetapi harus diterjemahkan ke dalam gerakan pembaharuan yang berkesan.


“Setiap pegawai tanpa kecuali perlu menjadi pemimpin perubahan. Reformasi urus tadbir tidak boleh ditangguhkan lagi, ia mesti dilaksanakan segera tanpa kompromi,” katanya.


Beliau menekankan Wilayah Persekutuan tidak boleh terus dikaitkan dengan imej birokrasi yang melelahkan, sebaliknya perlu menjadi lambang pentadbiran yang berani mencabar status quo.


“Reformasi ini bukan sekadar soal prosedur, tetapi tentang budaya kerja dan cara fikir pegawai. Sistem lapuk perlu disemak, SOP yang membuka ruang salah guna kuasa perlu diperbetul, dan budaya takut menegur mesti dihentikan,” tambahnya.


Sebagai langkah susulan, Zaliha mengarahkan Ketua Pengarah JWP untuk segera menubuhkan Pasukan Pemacu Governans dan Integriti bagi memastikan pendekatan yang lebih sistematik dan terfokus. Beliau juga meminta semua bahagian dan agensi melaksanakan audit kendiri terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan proses kerja bagi mengenal pasti peluang penambahbaikan, bukan untuk mencari kesalahan, tetapi untuk membina budaya kerja baharu dalam perkhidmatan awam.


“Setiap keputusan yang dibuat dengan niat jujur akan membina keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan perkhidmatan awam,” ujar Zaliha, menegaskan komitmen untuk membawa perubahan positif yang mampan di Wilayah Persekutuan.

Comments


  • Youtube
  • Facebook
  • X
  • TikTok
  • Instagram

© 2025 Life News Agency

bottom of page