Mahasiswa UM tingkat kesedaran pulihara ekosistem marin di Pulau Perhentian
- E News
- May 14
- 3 min read
Oleh Khor Kai Xuan, Tengku Zawati Afini

ASTREC (ASTAR Recreational and Educational Club), sebuah kelab di bawah Jawatankuasa Perkembangan Sukan dan Rekreasi, Kolej Kediaman Pertama, Universiti Malaya (UM), telah berjaya menganjurkan program “ASTREC Community Splash”. Program ini berlangsung dari 18 hingga 20 April 2025 melibatkan 42 orang mahasiswa yang menyertai aktiviti kesedaran alam sekitar di Pulau Perhentian, Terengganu. Program ini bertujuan untuk memupuk kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan habitat penyu dan terumbu karang, serta memperkukuh kemahiran insaniah seperti kemahiran berkomunikasi dan kerja berkumpulan serta menanamkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar.
Sepanjang program ini, para peserta telah terlibat dalam pelbagai aktiviti yang berfokus kepada penjagaan alam sekitar. Antaranya adalah sesi pengajaran interaktif di Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian, yang memberi pendedahan kepada pelajar sekolah rendah tentang kepentingan pemeliharaan habitat karang. Selain itu, para peserta juga turut berpeluang melibatkan diri dalam lawatan komuniti ke Kampung Pasir Hantu yang memberikan mereka pengalaman langsung dalam memahami kehidupan masyarakat tempatan serta usaha pemuliharaan yang dilakukan.

Salah satu aktiviti yang paling dinanti-nantikan adalah aktiviti snorkeling di perairan Pulau Perhentian, yang membolehkan para peserta melihat sendiri keindahan terumbu karang serta kehidupan marin yang sangat terancam. Aktiviti seperti ini merupakan serampang dua mata, memberi peluang kepada mahasiswa untuk menikmati keindahan alam semula jadi sambil meningkatkan kesedaran mereka terhadap keperluan pemeliharaan ekosistem marin. Selain itu, sukan pantai dan sesi BBQ komuniti juga menjadi platform untuk mempererat hubungan sesama peserta serta masyarakat setempat.
Projek ini telah dilaksanakan dengan kerjasama Fuze Ecoteer - sebuah organisasi yang berfokus kepada usaha pemuliharaan alam sekitar dan pendidikan tentang kelestarian - telah memberikan dimensi baru dalam program ini. Fuze Ecoteer telah membantu dengan menyediakan bahan pendidikan dan aktiviti yang menyentuh tentang pentingnya tindakan yang bertanggungjawab terhadap ekosistem marin. Kolaborasi ini juga membolehkan peserta mendapatkan pandangan yang lebih mendalam tentang pendekatan dan teknik konservasi terkini serta pentingnya tindakan kolektif dalam melestarikan ekosistem marin yang semakin terancam.
Khor Kai Xuan, Pengarah Program ASTREC Community Splash berkata, “Sebagai generasi muda, kita bukan sahaja perlu celik ilmu, tetapi juga celik alam sekitar. ASTREC Community Splash bukan sekadar program sukarelawan – ia adalah platform untuk membina nilai empati, tanggungjawab dan kesedaran terhadap isu perubahan iklim yang semakin mendesak. Kami bangga dapat menyumbang secara langsung kepada masyarakat setempat dan berharap program ini dapat membuka mata ramai pihak tentang pentingnya penjagaan alam.”
Menurut penasihat projek, Goh Pei Chong, usaha ASTREC ini sangat selari dengan nilai yang diterapkan di kolej mereka. “Usaha murni ASTREC ini mencerminkan nilai-nilai yang kami terapkan di Kolej Kediaman Pertama – iaitu pembentukan sahsiah pelajar yang seimbang dari segi intelek, emosi dan sosial. Saya amat berbangga melihat pelajar-pelajar kita mampu menganjurkan program berskala ini dengan begitu baik, dan lebih penting lagi, membawa pulang mesej kelestarian yang besar maknanya. Semoga pengalaman ini terus membentuk mereka menjadi pemimpin masa depan yang cakna dan bertanggungjawab,” kata beliau.

Program ini juga memberi impak yang besar terhadap pembangunan peribadi peserta, di mana mereka bukan sahaja didedahkan kepada ilmu pengetahuan alam sekitar, tetapi juga diberikan peluang untuk memupuk kemahiran insaniah yang penting untuk masa depan mereka. Aktiviti seperti ini membantu para peserta memahami betapa pentingnya keseimbangan antara perkembangan akademik dan juga sumbangan kepada komuniti. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti rekreasi seperti snorkeling dan sukan pantai, para peserta turut dapat menikmati gaya hidup yang lebih sihat, yang menggalakkan mereka untuk terus berinteraksi dengan alam semula jadi.
Melalui program ini, para peserta telah diberi peluang untuk mendekatkan diri dengan masyarakat setempat, di mana mereka turut berinteraksi dengan penduduk Pulau Perhentian dan belajar tentang kepentingan menjaga alam sekitar bersama. Inisiatif ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 11 (Penempatan Inklusif dan Mampan), dan SDG 13 (Tindakan Iklim).

Secara keseluruhan, ASTREC Community Splash 2025 telah membuktikan bahawa mahasiswa Universiti Malaya tidak hanya terfokus kepada kecemerlangan akademik, tetapi juga prihatin terhadap isu-isu alam sekitar dan masyarakat. Program ini adalah contoh bagaimana aktiviti kelestarian dan kesukarelawanan dapat memberikan impak yang besar bukan sahaja kepada peserta, tetapi juga kepada masyarakat setempat dan alam sekitar secara keseluruhan.
Dengan sokongan penuh daripada pengurusan Kolej Kediaman Pertama dan kerjasama Fuze Ecotter, diharapkan program seperti ini dapat diteruskan dan diperluas pada masa hadapan, sekali gus membentuk generasi mahasiswa yang lebih bertanggungjawab dan cakna terhadap alam sekitar.
Comments