top of page

AKADEMI PENGAJIAN ISLAM, UNIVERSITI MALAYA DAN AFFIN ISLAMIC BANK PERKUKUH KERJASAMA PENYELIDIKAN DAN PENGLIBATAN INDUSTRI MELALUI PENYERAHAN DANA GERAN PENYELIDIKAN DAN TAJAAN PERSIDANGAN ANTARABANGS

  • Writer: E News
    E News
  • Apr 30
  • 2 min read

Dekan APIUM (kiri) menerima replika cek dari Affin Islamic, disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UM
Dekan APIUM (kiri) menerima replika cek dari Affin Islamic, disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UM

KUALA LUMPUR, 28 April 2025 – Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (APIUM) terus mempamerkan komitmen unggul dalam menghubungkan keilmuan dan industri menerusi satu majlis bersejarah yang menyaksikan penyerahan mock cheque oleh AFFIN Islamic Bank Berhad berjumlah RM64,000. Majlis yang berlangsung di Balai Ilmu Mahmood Zuhdi, APIUM ini merupakan simbol kerjasama strategik antara dua institusi utama negara dalam mendukung kecemerlangan ilmu, pemerkasaan penyelidikan dan pengembangan wacana antarabangsa berteraskan Syariah.


Sumbangan tersebut merangkumi dua komponen utama: RM49,000 sebagai Geran Penyelidikan bagi kajian bertajuk “The Concept of al-I‘ānah ʿAlā al-Māṣīyah in Shariah and Its Application in Islamic Banking Industry in Malaysia” dan RM15,000 sebagai Tajaan Persidangan Antarabangsa Jurnal Syariah 2025 yang bakal menghimpunkan para cendekiawan Islam dari seluruh dunia.


Majlis penyerahan yang bermula pada jam 11.00 pagi itu dimulakan dengan ketibaan para tetamu kehormat diikuti ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Majlis. Antara tetamu terhormat yang hadir termasuk Profesor Ir. Dr. Kaharudin bin Dimyati, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaya, serta Puan Jozaimah Johan Ali, Ketua Jabatan Strategi dan Operasi Affin Islamic Bank Berhad,  mewakili Dato’ Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin, Ketua Pegawai Eksekutif AFFIN Islamic Bank Berhad.


Kolaborasi seperti ini bukan sahaja menyokong agenda universiti sebagai institusi penyelidikan terunggul, bahkan membuka ruang baharu dalam menjana pengetahuan yang bersifat aplikasi dan menyumbang secara langsung kepada pembangunan industri kewangan Islam tanah air.


Geran penyelidikan yang diserahkan ini akan memfokuskan kepada isu al-ʿIānah ʿAlā al-Māṣīyah – satu konsep yang sering dibahaskan dalam muamalat kontemporari. Kajian ini dijangka memberi sumbangan  dalam bentuk penambahbaikan  aplikasi kontrak muamalat Islam, khususnya dalam ekosistem kewangan Islam di Malaysia yang bersifat dwi perbankan.


Kajian tersebut akan dilaksanakan oleh  pakar penyelidik  dari Jabatan Syariah dan Ekonomi, Jabatan Syariah dan Pengurusan serta Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam.


Selain itu, pihak Affin Islamic Bank juga memberi tajaan bagi pelaksanaan  Jurnal Syariah International Conference (JSIC) 2025 yang akan berlangsung pada 6 Mei 2025 bertemakan "Integration of Shariah and Artificial Intelligence in Addressing Contemporary Issues’.  Persidangan ini akan dianjurkan oleh Jurnal Syariah yang merupakan salah satu jurnal yang menerbitkan kajian akademik dalam bidang syariah dan isu-isu kontemporari.


Kerjasama ini mencerminkan iltizam bersama antara Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan AFFIN Islamic Bank dalam memperkasa penyelidikan Syariah yang berimpak tinggi serta memacu inovasi kewangan Islam yang beretika, telus dan lestari.

Comments


  • Youtube
  • Facebook
  • X
  • TikTok
  • Instagram

© 2025 Life News Agency

bottom of page